Jangan bersedih,setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan bersedih,selepas kesusahan pasti datangnya kesenangan. Jangan bersedih, kerana dunia ini tidak layak untuk ditangisi. Jangan bersedih, Allah kan Baik. ^_^ La tahzan,innallaha ma'ana

Monday, 4 April 2011

Fikratul Ummah-PENTINGNYA MENANAMKAN ANAK-ANAK KECINTAAN AKAN AL-QUR’AN

Menghindari Anak-Anak dari Keasyikan Masa Kecil
Al-Ghazali menyatakan “Anak adalah amanah buat kedua ibu bapanya.  Hatinya masih suci ibarat permata yang mahal harganya.  Apabila anak-anak  dibiasakan dengan perkara  yang baik dan dididik serta diberi tunjuk ajar, nescaya dia akan membesar dengan sifat-sifat baik dan akan bahagia di dunia dan akhirat.  Sebaliknya apabila anak dibiasakan dengan amalan-amalan buruk, dibiarkan begitu sahaja tanpa dihiraukan seperti yang berlaku dalam dunia haiwan, nescaya anak itu akan hancur dan binasa.”

Anak umpama sehelai kain putih.  Apa-apa sahaja yang dicorak ke atas anak-anak ini pada permulaan kehidupan mereka, maka itulah yang akan membentuk perwatakan dirinya.  Apabila yang pertama ditanam adalah warna agama dan keluhuran budi pekerti, maka akan terbentuk antibodi pada diri anak-anak yang akan akhirnya membentuk syakhsiyyah yang positif seperti benci kepada kesombongan, rajin beribadah, tidak melawan cakap orang tua dan seumpamanya. Sebaliknya, apabila warna agama dan keluhuran budi pekerti tidak menjadi perkara pertama dalam pembentukan anak-anak, maka yang muncul adalah antibodi yang menghalang pembentukan pengaruh positif seperti malas sembahyang, malas belajar, suka dipuji, angkuh dan sebagainya.

Alam kanak-kanak merupakan satu alam yang penting di mana di sinilah berlakunya pembentukan watak utama dalam diri kanak-kanak. Apabila seorang anak dibiarkan melakukan sesuatu yang kurang baik dan kemudiannya menjadi kebiasaan, maka sangat sukar untuk meluruskannya semula.  Sebuah pepatah arab menyatakan:

Barangsiapa membiasakan sesuatu semenjak kecil maka dia akan terbiasa dengannya hingga dewasa

Para ulama mengatakan bahawa terdapat penyakit berbahaya yang biasa hinggap dalam kalangan anak-anak kecil yang disebut dengan penyakit “jununus shaba” (keasyikan di masa kecil) iaitu satu kecenderungan buruk, titik hitam kederhakaan dan bibit-bibit kesesatan pada anak-anak yang berasal daripada semaian syaitan. Penyakit ini kerap berjangkit pada anak-anak yang tidak ditanamkan pendidikan yang baik sejak daripada awal lagi.

Justeru, mendidik anak-anak daripada sejak kecil merupakan hal yang sangat perlu dan sangat mendesak.  Setiap lapisan masyarakat khususnya ibu bapa tidak boleh mengabaikan hal ini.  Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka....” [TMQ:  at-Tahrim (66):6]

Berkenaan ayat ini, Ali bin Abu Talib radiallahu anha berkata “Ajarlah dan didiklah anak-anakmu dengan pendidikan yang baik” 

Hassan al-Bashri pula berkata, “Suruhlah mereka taat kepada Allah dan didiklah mereka ajaran kebaikan”.

Sementara sahabat, Abdullah bin Umar r.a berkata, “Didiklah anak-anakmu pendidikan yang baik kerana hal itu tanggungjawabmu, sementara kelak bila dewasa anak-anakmu bertanggungjawab untuk berbuat baik dan patuh kepadamu”.

Ayat di atas dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam.

“Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap kamu pasti akan diminta pertanggungjawaban dari gembalaannya. Seorang lelaki (ayah) adalah pengembala keluarganya dan akan diminta pertanggungjawaban dari gembalaannya” [HR Bukhari dan Muslim]

Fungsi utama pendidikan adalah melestarikan fitrah anak iaitu fitrah kebenaran, fitrah tauhid, fitrah berperilaku positif dan seumpamanya. Sejak lahir lagi seseorang kanak-kanak diberi instinct atau kecenderungan kepada kebaikan agar tertanam sebagai satu naluri dalam dirinya. Fitrah anak tersebut perlu melalui proses pendidikan yang tidak menyimpang. Di dalam al-Qur’an Allah berfirman:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yng lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”  [TMQ ar-Rum (30):30]

Pendidikan anak-anak juga berfungsi agar kehanifan anak (kelurusannya dalam meniti kebenaran) tetap terjaga. Ia sentiasa rapat, dekat dan sekaligus tetap dengan kebenaran. Dengan izin Allah, cahaya hikmah akan selalu bersamanya dan dengan demikian segala tipu daya syaitan yang ingin menghindarinya daripada kehanifan itu dapat dijauhi.  Dalam sebuah hadis qudsi dinyatakan:

Sesungguhnya Aku mencipta hamba-hambaKu secara hanif (lurus, cenderung kepada fitrah, beragama Islam) seluruhnya.  Sesungguhnya syaitan-syaitan datang lalu mengalihkan hamba-hambaKu itu dari agama mereka”.  [HR Muslim]

Pihak yang bertanggungjawab penuh dalam aspek pendidikan anak-anak, tidak lain ialah kedua ibu bapanya. Ibu bapalah yang akan mengukir anaknya sendiri. Mereka juga yang menjadikan anak-anak mereka soleh (beriman) atau kafir.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Setiap bayi dilahirkan atas fitrah (tauhid, iman). Kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”[HR Bukhari].

Oleh sebab itu, peranan ibu bapa yang amat dominan ini menuntut ibu bapa lebih serius dalam hal pendidikan anak-anaknya sehingga anak itu mampu menjadi generasi penerus yang teguh, kukuh dan kental keimanannya.  AllahSubhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan hendaklah takut kepda Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah yang mereka khuatirkan terhadap kesejahteraan mereka....” [TMQ an Nisa’(4):9]

Ayat ini menyeru kepada ibu bapa agar tidak meninggalkan generasi penerus (anak-anak) yang lemah, bukan sahaja dari segi ekonominya, namun lebih parah adalah kelemahan dari segi mental dan spritualnya.  Menurut pandangan akidah Islam, mental yang lemah daripada suatu generasi sangat dibimbangi dan perlu diambil berat dibandingkan dengan lemah dalam ekonomi.  Jalan untuk mengukuhkan mental anak-anak ialah dengan memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak tersebut.

Persoalannya, pendidkan yang bagaimana yang perlu diberikan kepada anak-anak? Cukupkah dengan hanya menghantar anak-anak ke sekolah, pagi bersekolah aliran akademik, petangnya pula bersekolah aliran agama? Manakala di waktu lapang pula, anak-anak asyik menghabiskan masa di hadapan televesyen. Menonton pelbagai siaran dan rancangan, daripada cerita-cerita kartun yang menjadi pujaan dan kebanggan mereka sehinggalah kepada cerita seram tahyul yang merosakkan akidah mereka.  Kesemua unsur tidak sihat ini menyerap dalam minda anak-anak dengan begitu pantas, sekaligus mencorak pemikiran anak-anak dengan third class mentality.  Ke mana hilangnya kesedaran ibu bapa untuk mendidik kecintaan kepada al-Qur’an dalam jiwa anak-anak mereka?
Menanamkan Anak Dengan Kecintaan Kepada Al-Qur’an

Untuk menghindari penyakit jununus shaba (keasyikan semasa kecil) sekaligus melestarikan fitrah dan kehanifan anak serta meningkatkan mentaliti keimanan, maka satu-satunya jalan yang diajarkan oleh Islam adalah melalui usaha menanamkan pada anak-anak pendidikan yang berorientasi kecintaan terhadap al-Qur’an sejak kecil lagi.

Ibnu Khaldun menunjukkan pentingnya menanamkan pendidikan al-Qur’an kepada anak-anak ini. Menurutnya, pendidikan al-Qur’an merupakan asas seluruh kurikulum pendidikan di dunia Islam kerana al-Qur’an merupakan syiar agama yang mampu menguatkan aqidah dan mengukuhkan keimanan.

Ibnu Sina juga menasihati agar memberi tumpuan pendidikan al-Qur’an kepada anak-anak.  Menurutnya, segenap potensi anak, baik jasmani mahupun akal, hendaklah dicurahkan untuk menerima pendidikan utama ini agar anak-anak mendapatkan bahasa asalnya dan juga supaya aqidah akan meresap dan tertanam dalam jiwanya.

Dengan menanamkan kecintaan anak terhadap al-Qur’an sejak kecil, maka kecintaan itu akan bersemi pada masa dewasanya kelak, mengalahkan kecintaan anak terhadap hal yang lain.  Hal ini sangat penting kerana masa kanak-kanak itulah masa pembentukan watak yang utama.

Misalnya, generasi para sahabat, sebaik sahaja diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan al-Qur’an, mereka segera mendidik putra-putri mereka  dengan kitab teragung sepanjang sejarah kehidupan umat manusia ini.  Maka, lahirlah setelah itu revolusi generasi umat manusia dengan hadirnya generasi tabi’in, generasi pelanjut yang istimewa dalam mencintai al-Qur’an, barakah daripada penanaman kecintaan kepada al-Qur’an sejak kecil.

Bilakah Masa Untuk Mendidik Anak dengan Al-Qur’an?

Bilakah seseorang anak itu sebenarnya bersedia untuk dididik dengan al-Qur’an? Secara idealnya anak menerima pendidikan al-Qur’an secara formal pada usia 4-6 tahun.  Mengapa usia ini dianggap ideal? Ini kerana pada usia 7 tahun, anak telah ditekankan untuk dilatih dengan solat di mana di dalam solat memerlukan kelancaran bacaan al-Qur’an seperti surah al-Fatihah dan surah-surah pendek lainnya serta bacaan doa-doa.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

“Suruhlah anak-anakmu menjalankan solat dalam usia tujuh tahun, pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika masih enggan mengerjakan solat) dan pisahkanlah tempat-tempat tidur di antara mereka”. [HR Abu Dawud]

Al-Qasthalani menceritakan dalam bukunya Irsyadus Sari bahawa sahabat Abdullah bin Abbas atau yang dikenal dengan Ibnu Abbas telah menghafal al-Qur’an sedangkan usianya masih muda.  Sementara Sufyan  bin Uyainah telah mampu menghafal al-Qur’an pada usia 4 tahun.  Imam Shafi’e pada usia 7 tahun dan Ibnu Hajar al-Asqalani pada usia 9 tahun. Jika pada seawal umur begini mereka telah mampu menghafal al-Qur’an bolehkah kita bayangkan seawal usia berapa tahun pula mereka sudah mula dididik dengan al-Qur’an?

Sebenarnya sebelum usia 4-6 tahun pun, anak-anak sudah dapat dididik dengan al-Qur’an, hanya saja tekniknya ialah secara tidak formal, misalnya dengan memperdengarkan bacaan aya-ayat suci al-Qur’an, melatih mengeja dan kegiatan pra membaca yang lainnya.

Menurut pakar psikologi pendidikan, menjelang usia dua tahun, anak-anak sudah mula memiliki kemampuan untuk memberi atau mengenal nama benda-benda. Sementara daripada usia dua hingga tiga tahun, anak sudah pun memiliki persediaan untuk membaca. Pada usia ini, anak kelihatan seolah-olah suka meniru.  Oleh itu,  apabila ibu bapa memperdengarkan bacaan al-Qur’an atau melatih mengeja secara berulang-ulang, bacaan itu akan mudah diserap atau dirakam oleh otak anak.

Perlu juga diperhatikan bahawa di usia awal kanak-kanak, anak-anak cepat menjadi bosan.  Untuk itu perlu dihindarkan faktor-faktor yang boleh membuat anak-anak bosan atau lari terus daripada pendidikan yang sedang diajarkan kepada mereka, terutamanya dalam pendidikan al-Qur’an.  Ibu bapa atau pendidik al-Qur’an hendaklah menimbulkan kesan yang menarik lagi indah bagi anak-anak pada awal-awal masa pendidikan hingga mampu menarik minat mereka untuk belajar al-Qur’an dan akan sentiasa belajar dengan penuh bersemangat dan gembira.

Dunia anak-anak adalah dunia bermain.  Ada bahaya yang sangat besar jika ibu bapa atau pendidik al-Qur’an mengabaikan hal ini.  Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin mengatakan,
 “Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri dari keadaan ini”

Untuk mengatasi hal ini, ibu berperanan memberi motivasi kepada anak-anak, tidak dimarahi malah hendaklah disayangi, tidak dicela sebaliknya hendaklah dibelai dengan kasih sayang.  Anak juga tidak diberikan beban kerja yang berlebihan daripada kemampuannya. Anak-anak seharusnya diberi kesempatan bermain, bercerita dan seumpamanya.  Sesekali anak juga perlu diberi rehat  seumpama percutian bersama keluarga dan seharusnya dielakkan daripada banyak menonton rancangan di televesyen.  Wallahu a’lam bisshawab.

No comments:

Post a Comment